Sejarah
Pusat Asasi Sains merupakan satu pusat pengajian di Universiti Malaya yang telah ditubuhkan pada tahun 1977 mengikut peruntukan Seksyen 18 Perlembagaan Universiti Malaya. Kursus yang dijalankan di Pusat Asasi Sains adalah kursus yang berbentuk pra-universiti/matrikulasi yang dimulakan sejak sesi 1977/1978. Rancangan akademik yang disediakan di Pusat Asasi Sains telah berkembang meliputi bidang Sains dan Sains Sosial yang bertujuan melengkapkan pelajar-pelajar dengan pengetahuan asas yang kukuh di dalam semua mata pelajaran berkaitan supaya mereka boleh meneruskan pengajian di fakulti-fakulti dengan jayanya setanding dengan pelajar-pelajar lain yang masuk ke Universiti Malaya melalui saluran-saluran biasa (dari STPM/HSC). Kumpulan pertama pelajar-pelajar dari kursus ini yang telah memasuki Fakulti Pergigian, Fakulti Kejuruteraan dan Fakulti Sains telahpun berjaya menerima ijazah dalam konvokesyen Universiti Malaya tahun 1983. Manakala kumpulan pertama doktor bekas pelajar Asasi Sains telah berjaya mendapat ijazah dalam konvokesyen tahun 1984 yang lalu. Pusat Asasi Sains dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Awam dan Kerajaan Jepun telah mengatur satu program khas iaitu Rancancan Persediaan Khas (Jepun) yang dimulakan pada sesi 1982/1983. Pelajar-pelajar ini akan meneruskan pengajian mereka di Universiti-universiti Jepun setelah menduduki Peperiksaan Khas untuk kemasukan ke Universiti-universiti Jepun. Kursus-kursus yang ditawarkan adalah dalam bidang Sains, Kejuruteraan, Pengurusan, Perubatan, Pergigian dan Perniagaan. Mulai sesi 1987/1988, dua kursus baru telah dilaksanakan di Pusat Asasi Sains, iaitu kursus Pra Perakaunan khusus bagi menyediakan pelajar-pelajar untuk kemasukan ke kursus Perakaunan dan Pentadbiran Perniagaan, Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran dan kursus Pra Inggeris Sebagai Bahasa Kedua bagi pelajar-pelajar yang ingin mengambil Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua) di Fakulti Pendidikan. Pada sesi 1997/1998, Pusat Asasi Sains mula memperkenalkan kursus Pra Alam Bina dan Pra Undang-Undang. Pelajar yang telah menyempurnakan pengajian mereka untuk kursus Pra Alam Bina akan meneruskan pengajian masing-masing dalam bidang Senibina dan Ukur. Manakala pelajar lulusan Pra Undang-Undang akan meneruskan pengajian ijazah pertama di Fakulti Undang-Undang, Universiti Malaya. Pada sesi 1997/1998. struktur pengajian di Pusat Asasi Sains disusun semula untuk disesuaikan dengan perubahan semasa. Di bawah sistem baru, pelajar-pelajar Pusat Asasi Sains boleh menyempurnakan pengajian dalam tempoh dua semester. Walau bagaimanapun, bagi pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan, mereka diberi kesempatan untuk menamatkan kursus dalam tempoh tiga atau empat semester. Program yang terlibat adalah Asasi Sains (aliran Hayat, Fizikal, Pra Inggeris Sebagai Bahasa Kedua dan Pra Perakaunan/Perniagaan/Ekonomi). Bagi program Rancangan Persediaan Khas (Jepun), ianya masih dikekalkan mengikut struktur lama. Program Pra Perakaunan juga telah disusun semula bagi membolehkan pelajar dipertimbangkan kemasukan ke kursus Pentadbiran Perniagaan dan Ekonomi. Selaras dengan perubahan ini, program Pra Perakaunan diubah nama programnya kepada program Pra Perakaunan/Perniagaan/Ekonomi (Pra PPE). Pada Sesi 1998/1999 Pusat Asasi Sains telah mengadakan program kerjasama dengan sembilan buah institusi swasta iaitu Kolej MARA Banting, Institut Maxisegar, IKIP, Kolej Cempaka, Kolej UNITI, Institut Goon, Inpens, Kolej Matrikulasi Terengganu dan Yayasan Pelajaran Mara Kuantan. Pada sesi 1999/2000 hampir semua pelajar ditempatkan di dalam kampus Universiti Malaya dan sebahagian kecil ditempatkan di Kolej MARA Banting. Program yang dijalankan pada sesi ini adalah Asasi Sains (aliran Hayat, Fizikal dan Pra Perakaunan/Perniagaan/Ekonomi) dan Rancangan Persediaan Khas Jepun. Pada sesi 2000/2001, hanya Rancangan Persediaan Khas Jepun mempunyai pengambilan pelajar baru manakala program Asasi Sains pula menguruskan sebilangan pelajar yang perlu menyempurnakan pengajian masing-masing dalam tiga atau empat semester. Pada sesi 2001/2002, pengambilan pelajar dibuat untuk program Asasi Sains (aliran Hayat dan Fizikal) dan Rancangan Persediaan Khas Jepun dan semua pelajar ditempatkan di dalam satu atau dua asrama di dalam kampus Universiti Malaya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment